Lebih 200 Janda, Anak Dara Tua Terperangkap ‘Love Scam’ Lelaki Afrika

KUALA LUMPUR – Sindiket Love Scam yang didalangi warga Afrika sema­kin menggila apabila lebih 200 mangsa lagi yang kebanyakannya janda kesepian serta anak dara tua dari Malaysia dan Singapura diperdaya sehingga ada yang kerugian antara RM100,000 hingga RM1 juta.

 

Perkara itu terbongkar hasil kejayaan penahanan kira-kira 30 suspek termasuk 14 orang di Puchong, Selangor semalam dalam Op Tiong yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sejak seminggu lalu.

 

Kejayaan terbaharu pasukan JSJK itu mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengucapkan tahniah terhadap kejayaan operasi berkenaan.

 

“Syabas Comm Crime @PDRMsia BAman tumpaskan Nigerian Parcel dan Love Scam, di Puchong malam tadi. Tangkap 14L, 10 Warga Nigeria. Go PDRM Go,” ujarnya di dalam laman Twitter miliknya.

 

Menurut sumber, Op Tiong kali ini dijalankan selepas JSJK membuat risikan sebulan lalu dan tindakan diambil berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa-mangsa wanita yang telah terpedaya dan kerugian sejumlah wang yang besar.

 

Katanya, seorang wanita yang berasal dari Singapura kerugian RM1 juta selepas tidak sedar tentang taktik yang digunakan sindiket yang beroperasi di negara ini itu yang memerangkap mangsa dengan permainan cinta di Facebook.

 

“Dia telah memasukkan wang dalam jumlah yang besar beberapa kali selepas ‘kekasih’ yang hanya dikenali di Facebook memintanya untuk melepaskan bungkusan yang ditahan oleh pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara,

 

“Selepas memasukkan wang itu, barulah dia sedar bahawa telah tertipu dan terus membuat laporan polis. Kejadian sama berlaku terhadap seorang wanita tempatan yang kerugian sejumlah RM100,000 apabila ditipu sindiket sama,” ujar sumber itu.

 

Ditanya tentang penahanan kira-kira 30 suspek terbabit, sumber itu menjelaskan, terdapat warga Malaysia yang turut ditangkap kerana terlibat bersengkokol dengan warga Afrika.

 

“Antara yang ditahan itu adalah pemilik akaun bank yang se­ngaja menjual akaun mereka kepada sindiket ini.

 

“Malah polis turut menahan wanita-wanita tempatan yang juga teman wanita anggota sindiket ini. Kebanyakan mereka ditugaskan untuk menyamar sebagai pegawai kastam dan imigresen yang akan menghubungi mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaun-akaun tertentu,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.