KWSP Rancang Perluas Unit RAS Di Seluruh Negara

HULU TERENGGANU – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperluaskan unit Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) di seluruh negara bagi membantu pekerja swasta menguruskan simpanan mereka selepas bersara.

 

Pengurus Besar Kanan, Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP, Baharuddin Jawadi berkata, ketika ini perkhidmatan ini hanya terdapat di cawangan Kuala Lumpur, Pertaling Jaya dan Johor Baharu.

 

“Memandangkan perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan, kami merancang untuk meluaskan RAS di semua negeri,” katanya kepada Bernama ketika menghadiri program Hari Keluarga KWSP dan Majlis Makan Malam di sini, yang turut dihadiri Ketua KWSP negeri Terengganu, Rahmat Ali.

 

Beliau berkata, sebenarnya mengurus simpanan ini patut diajar semasa mula-mula pekerja bekerja lagi hingga bersara, bagaimana cara pekerja mahu buat simpanan, tabungan, pinjaman dan sebagainya.

 

Katanya ini kerana sekarang terlalu banyak institusi yang menawarkan pinjaman, jadi dengan sebab itu pekerja perlu merancang kewangan mereka dengan bijak sejak awal lagi bagi mengelak terjebak dengan kesusahan di kemudian hari.

 

Baharuddin berkata, perkhidmatan RAS disediakan secara percuma dan mereka menyasarkan kumpulan-kumpulan tertentu untuk mendapatkan khidmat nasihat tersebut.

 

Sementara itu, mengenai perkhidamatan e-Caruman On-Line, katanya ia memudahkan majikan membuat bayaran pencaruman pekerja mereka melalui bank.

 

“Kalau dulu kita menggunakan borang A dan hanya dapat dikredit ke akaun ahli mengambil masa selama 21 hari, tetapi dengan sistem e-Caruman On-line itu ia mengambil tempoh hanya tiga hari.

 

“Jadi mana-mana majikan yang belum menggunakan sistem itu, kita nasihatkan supaya mereka menggunakannya kerana ia lebih efisyen,” katanya.

 

Baharuddin berkata, ketika ini KWSP mempunyai kira-kira 14 juta ahli manakala terdapat kira-kira enam juta ahli yang aktif. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.