Kapal Tangki MT Joaquim Ditemui Dekat Tanjung Keling

SINGAPURA – Kapal tangki berdaftar di Singapura, ‘MT Joaquim’(1796GT), telah dijumpai di kedudukan kira-kira 13.7 batu nautika dari Tanjung Keling, Malaysia selepas ia dilaporkan dirampas semalam.

 

Dalam satu kenyataan, Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata pihaknya menerima laporan pada 9 pagi (waktu tempatan) Ahad bahawa kapal tangki itu telah ditemui.

 

Menurut syarikat pengurusan kapal tersebut, RTBS Consultants Pte. Ltd., ada sembilan kru dalam kapal tersebut semasa insiden itu berlaku.

 

Semua kru (seorang warga Singapura dan lapan rakyat Indonesia) telah dikenal pasti tetapi minyak yang dibawa oleh kapal itu dilaporkan hilang.

 

MPA berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia untuk memastikan keselamatan anggota kru dan kapal tersebut.

 

Seorang kru yang dilaporkan cedera telah diterbangkan ke Hospital  Alor Gajah di Melaka untuk menerim rawatan.

 

Sementara itu, MPA berkata syarikat pengurusan kapal tersebut sedang membuat persiapan untuk membawa balik kapal tangki itu ke Singapura.

 

Kira-kira 7 malam (waktu tempatan) semalam, MPA menerima laporan bahawa “MT Joaquim” telah dirampas di perairan kira-kira 29 batu nautika ke utara Pulau Rupat di Selat Melaka.

 

Semasa insiden, kapal itu dalam pelayaran ke Pulau Langkawi, Malaysia, dari Tanjung Pinang, Indonesia. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.