Enam Lelaki Didenda RM23,098 Seludup Rokok

JOHOR BAHRU – Akibat menjual rokok dan arak seludup, enam lelaki termasuk dua warga asing dikenakan denda berjumlah RM23,098 oleh mahkamah majistret di sini, semalam.

 

Semua tertuduh dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki barangan larangan awal bulan ini selepas pertuduhan berkenaan dibacakan oleh jurubahasa.

 

Tertuduh, Choy Kee Kiang, 45; V Biju, 34; T Rajandran, 36; S Devan, 36; Rahmad Efendi, 24; dan Tang Kheng Chai, 37, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di premis perniagaan berasingan di sekitar bandar raya ini.

 

Majistret Mohd Azlan Shah Allias menjatuhkan hukuman minimum kepada empat tertuduh selepas kesemua tertuduh membuat rayuan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan.

 

Rajandran yang berasal dari Skudai di sini, memohon hukuman diringankan berikutan dia menyara dua anak kecil, isteri yang tidak bekerja serta ibu.

 

Dia yang juga pemilik kedai di Taman Nesa dikenakan hukuman denda sejumlah RM7,136 selepas mengaku bersalah memiliki sembilan botol dan 245 tin arak bernilai RM713.

 

Manakala, warga India, Biju dikenakan hukuman denda RM616 selepas mengaku bersalah memiliki 36 peket rokok bernilai RM61 di sebuah kedai runcit di Taman Skudai Baru.

 

Mereka dikenakan hukuman denda minimum iaitu 10 kali ganda daripada nilai rampasan dan sekiranya gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh masa ditetapkan.

 

Dalam pada itu, di kamar mahkamah berasingan, Majistret Salina Omar menetapkan hukuman denda sejumlah RM9,600 terhadap Rahmad yang berasal dari Indonesia selepas mengaku bersalah memiliki 108 paket rokok.

 

Manakala, seorang lagi tertuduh, Kheng Chai dijatuhi hukuman denda RM4,100 selepas mengaku bersalah memiliki 17 botol arak dan 47 paket rokok.

 

Semua pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 34(2) Akta Eksais 1976 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 79 Akta yang sama.

 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Wan Arissa Wan Rosli dan Norhaliza Ab Ghani.

 

Bagaimanapun, semua tertuduh membayar denda yang dikenakan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.