DAP Yakin Dapat Sokongan Melayu Dengan Bantuan GHB

DAP yakin perikatan baharu bersama parti serpihan PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mampu meraih sokongan orang Melayu di Johor, Melaka dan Perak, kata Tony Pua.

 

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata, walaupun parti pembangkang sedang berdepan perpecahan namun pengundi Melayu kelas pertengahan di barat dan selatan Semenanjung, sokongan kepada pemimpin progresif Islam lebih baik ditunjukkan berbanding puak konservatif.

 

“Penyokong Umno mungkin juga sanggup mengundi progresif berbanding konservatif. PAS sendiri tidak cemerlang di negeri tersebut sejak berdekad lalu.

 

“Jadi dengan perikatan baharu, kami harap akan melakukan lebih baik tanpa tentangan seperti dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

 
Keyakinan DAP turut berasaskan statistik pilihan raya yang menunjukkan parti pembangkang cenderung memenangi lebih sokongan dan kerusi setiap kali perikatan dibentuk, kata Pua.

 

“Kami mencari kemenangan ke Putrajaya melalui sokongan dari Johor, Perak dan Selangor,” kata Pua pada forum Masa Depan Pembangkang di Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-9 di Kuala Lumpur semalam.

 

DAP tidak berhajat untuk memanjangkan langkahnya ke Kelantan atau Terengganu kerana pengundi di 2 negeri itu cenderung menyokong puak konservatif PAS, kata Pua.

 

Kenyataannya itu berikutan perkembangan dalam PAS di mana sebahagian pimpinannya membentuk GHB dalam persediaan membentuk parti Islam baharu.

 

GHB dibentuk pemimpin progresif PAS yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini.

 

Parti yang ingin ditubuhkan GHB dijangka bakal menggantikan PAS dalam perikatan pembangkang baru bersama DAP dan PKR selepas PR menamatkan kerjasamanya ekoran terputus hubungan PAS dan DAP. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.