1,000 Penduduk Di Kedah Terjejas Bencana Ribut

SUNGAI PETANI – Sehingga lewat petang semalam, hampir 1,000 mangsa dilaporkan terjejas akibat kejadian ribut dan angin kencang melibatkan kawasan Parlimen Merbok, Sungai Petani dan Jerai.

 

Difahamkan, sebanyak 63 buah rumah terjejas melibatkan lebih kurang 270 orang mangsa di daerah Kuala Muda akibat kejadian itu yang berlaku pada petang Sabtu.

 

Maklumat daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda memaklumkan, di Dun Tanjung Dawai sahaja, sebanyak 23 buah kampung terlibat melibatkan 41 buah rumah dan 157 orang mangsa.

 

Manakala, di Dun Bukit Selambau, sebanyak 15 buah rumah terjejas melibatkan mangsa seramai 80 orang.

 

Sementara itu, kejadian yang turut menyebabkan bumbung rumah dan beberapa gerai diterbangkan angin turut berlaku di Dun Pantai Merdeka dan Dun Sidam.

 

Di Dun Pantai Merdeka, sebanyak dua buah rumah dikatakan terjejas melibatkan tujuh orang mangsa.

 

Dalam pada itu, di Dun Sidam seramai 26 mangsa terjejas melibatkan lima buah rumah.

 

Bagaimanapun, Dun Gurun mencatatkan angka tertinggi yang terjejas teruk apabila maklumat diperoleh mengatakan sebanyak 144 buah rumah terjejas melibatkan 640 orang mangsa.

 

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Adnan Abdul Rashid berkata, setakat ini hampir 910 mangsa berdaftar dan kesemua mangsa yang terlibat perlu membuat laporan polis bagi mengesahkan kejadian.

 

Selain itu, tinjauan juga mendapati, kerosakan turut melibatkan harta benda lain yang dilaporkan berlaku termasuk papan tanda terbalik, bumbung kedai tercabut, pokok tumbang serta melibatkan kerosakan kenderaan termasuk kereta dan motosikal.

 

Bagaimanapun, menurut Adnan, angka berkenaan merupakan senarai mangsa yang telah berdaftar dengan JKM dan sehingga petang semalam, pihaknya masih menerima laporan dan penghantaran aduan daripada orang ramai berhubung kejadian.

 

“Namun difahamkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan di daerah ini,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.