Dua Calon Cabar Erdogan Dalam Pilihanraya Presiden

Istanbul – Dua calon akan mencabar Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya presiden Turki hari ini.

Antara kedua-dua calon berkenaan, Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu dilihat sebagai calon yang dijangka memberi tentangan hebat kepada Erdogan berbanding seorang lagi calon daripada parti pro-Kurdis, Selahattin Demirtas.

Pencalonan Ihsanoglu oleh parti sekular pembangkang menimbukan sedikit kontroversi kerana seperti Erdogan, beliau mempunyai pegangan agama yang kuat. Namun begitu, beliau berjanji akan menghormati tradisi sekular Turki moden.

Anak kepada seorang ulama Turki yang hidup dalam buangan di Mesir, Ihsanoglu dilahirkan di Kaherah, sesuatu yang menjadi bahan kempen Erdogan yang menggelarnya sebagai calon ‘import’.

Ihsanoglu, 70, adalah sarjana yang dihormati dan menguasai beberapa bahasa tetapi kekurangan pengalaman berkempen politik dalam pilihan raya sebagaimana Erdogan.

Ketika Erdogan menganjurkan perhimpunan di merata pelusuk negara, Ihsanoglu pula lebih cenderung untuk mengadakan sidang akhbar dan menemui orang biasa di jalanan.

Sementara Erdogan ingin menjadikan jawatan presiden Turki itu tokoh politik kuat, Ihsanoglu berpendapat presiden seharusnya tiada kaitan dengan politik dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.