KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tidak timbul isu bersyarat atau tidak dalam menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu badan kehakiman yang dicadangkan oleh bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Jelas Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Pas menyokong RCI atau apa jua usaha untuk menyelesaikan kemelut soal pelantikan hakim hari ini.
“Apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ialah agar Rafizi dan rakan-rakan turut serta dalam himpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai ini.
“Nak datang atau tidak, terpulanglah, tidak ada masalah. Soal media melaporkan perkara itu sebagai sokongan bersyarat merupakan satu bentuk salah faham oleh pihak media, dan sepatutnya merujuk kepada tuan badan sendiri untuk mendapatkan kenyataan sebenar.
“Ini kerana cadangan penubuhan RCI ini pun tidak akan terlaksana dan tidak akan ke mana-mana selagi PMX tidak menjadi XPM (bekas PM). Itu sahaja,” kata Fadhli.
Semalam, Rafizi Ramli mendakwa Pas seolah-olah ‘menunggang’ penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman apabila meletakkan syarat.
“Pas bagi kata dua kepada saya: mereka hanya akan sokong cadangan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai badan kehakiman jika saya sertai perhimpunan Turun Anwar yang mereka anjur. Itu kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas.
“Sokongan bersyarat ni maksudnya nak menunggang,” ujar beliau.