KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur terus menurun sebanyak 0.7 peratus pada Mei lalu kepada 522,400 orang berbanding 525,900 pada April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Statistik Tenaga Buruh Mei yang dikeluarkan DOSM hari ini menunjukkan kadar pengangguran pada bulan ini kekal 3 peratus seperti pada April.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada Mei, naik sebanyak 0.3peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta yang direkodkan pada April.
“Penurunan pengangguran yang berterusan diiringi pertambahan dalam guna tenaga mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang positif dan memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Melihat kepada prestasi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan menunjukkan trend peningkatan konsisten, terutamanya aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; dan pengangkutan dan penyimpanan.
“Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, dan perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan,” katanya.
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.2peratus pada Mei, dengan 297,700 penganggur belia berbanding 298,300 pada April.
Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran kekal pada 6.2peratus, mencatatkan 399,000 orang berbanding 400,600 pada April.
Uzir berkata pasaran buruh negara dijangka terus berkembang dan kekal berdaya tahan pada bulan-bulan yang akan datang, disokong oleh dasar kerajaan, kestabilan makroekonomi serta pelaburan dalam modal insan.
“Walaupun berdepan cabaran global yang berterusan, asas domestik yang kukuh dan pelaburan dalam modal insan membantu mengekalkan kestabilan dan prestasi pasaran buruh yang kukuh,” katanya.