KUALA LUMPUR – Dua daripada lima anggota polis yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas ketika latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) pagi tadi, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga lagi mangsa dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Beliau berkata kelima-lima mereka, menerima rawatan segera dengan bantuan doktor pakar di hospital berkenaan sejurus selepas insiden berlaku.
“Alhamdulillah, dengan pertolongan dan bantuan daripada doktor pakar di HSA, saya percaya kita dapat memberikan rawatan terbaik kepada mereka. Kita doakan mereka sembuh dan dapat berkhidmat seperti biasa, insya-Allah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di HSA di Johor Bahru pada Khamis.
Khalid berkata tiga daripada mangsa ialah anggota Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala dua lagi bertugas di Balai Polis Tanjung Kupang.
Helikopter AS355 milik PDRM itu dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Gelang Patah, ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan MITSATOM 2025, yang melibatkan empat negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.
Menurut CAAM helikopter berkenaan yang dikendalikan PDRM telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.
Mengulas dakwaan bahawa helikopter yang digunakan itu aset lama, Khalid berkata isu usia bukan faktor utama sekiranya penyelenggaraan dilakukan dengan baik.
“Lama tidak menjadi masalah, yang penting penyelenggaraan dilakukan dengan baik. Apa yang berlaku ini adalah sesuatu di luar kawalan kita,” katanya.