Bukan hilang kepercayaan kepada PM tapi desakan RCI demi kewibawaan proses lantik hakim – Nik Nazmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Desakan sembilan ahli Parlimen PKR berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Persekutuan, bukanlah disebabkan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, ia dibuat secara terbuka kerana melihat kepentingan untuk institusi kehakiman negara dipertahankan daripada dicemari.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, desakan secara terbuka melalui sidang akhbar dibuat adalah kerana isu kewibawaan institusi kehakiman merupakan satu perkara mendesak untuk disuarakan.

Katanya, kewibawaan institusi kehakiman negara merupakan asas yang sangat dekat dengan PKR, oleh itu mereka perlu menyatakan pendirian secara terbuka.

“Tidak timbul soal kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana isu yang dibangkitkan adalah berkaitan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan kewibawaannya dalam proses pelantikan hakim.

“Kami mengambil langkah menyatakan pendirian secara terbuka sebagai ahli Parlimen PKR dan bukannya bersama pihak pembangkang,” lapor Utusan pada Khamis.

Sebelum ini, sembilan Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Mereka ialah Rafizi, Nik Nazmi; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Penubuhan RCI itu adalah untuk menyiasat dakwaan bahawa bagi pelantikan hakim-hakim (sama ada bagi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan), pencalonan yang telah dihantar oleh JAC kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar yang sewajarnya, yang menyebabkan kekosongan menjadi mendesak.

Keduanya, menyiasat dakwaan bahawa pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telahpun diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada Perdana Menteri sebelum ini, tetapi pelantikan tidak dibuat sehinggalah menyebabkan kekosongan yang ada sekarang.

Ketiga, menyiasat bahawa mesyuarat JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari dengan tujuan untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.

Terakhir, menyiasat bahawa pada satu mesyuarat JAC yang lepas, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim.

Nik Nazmi berkata, walaupun perkara itu sudah dijawab oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan akan ada penjelasan daripada kerajaan berhubung perkara itu, namun pendirian untuk ia disiasat secara telus adalah kekal.

“Seperti yang kami senaraikan pada sidang akhbar tempoh hari, permintaan itu kekal dan akan terus dibangkitkan. RCI perlu ditubuhkan dan kami tak rasa kerajaan ada apa-apa untuk diselindungkan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat