KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio agar negara itu terus membuka ruang rundingan berkait tarif import 25 peratus yang dikenakana kepada Malaysia.
“Menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang mencerminkan komitmen bersama untuk melonjak hubungan Malaysia-AS ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Saya juga menegaskan kebimbangan Malaysia terhadap pelaksanaan tarif import 25 peratus oleh AS seperti yang diumumkan Presiden Donald Trump.
“Malaysia berpandangan tindakan unilateral sedemikian menjejaskan aliran perdagangan bebas dan boleh memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi serantau, khususnya negara dagang seperti Malaysia.
“Saya menyatakan pendirian bahawa ruang rundingan harus terus dibuka bagi menjamin keputusan perdagangan yang adil, saksama dan tidak menindas negara membangun,” tegas Anwar.
Dalam pertemuan sama pertemuan, Anwar turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, Oktober ini.
“Malaysia kekal yakin bahawa kerjasama erat dengan AS bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan rantau Indo-Pasifik secara keseluruhan.
“Pertemuan ini membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelaburan digital, kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Ukraine dan Myanmar,” kata Anwar.