Lima Pemain Ganas Liga Malaysia Digantung Perlawanan

KUALA LUMPUR – Lima pemain Liga Malaysia (Liga M) digantung dua perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik selepas didapati berkelakuan ganas ketika beraksi mewakili pasukan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu menerusi satu kenyataan hari ini berkata, hukuman terbabit dikenakan selepas mereka didapati melanggar Artikel 50.1(d) yang dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM.

Daripada lima pemain terbabit, seorang pemain beraksi bersama pasukan Liga Super sementara empat lagi beraksi bersama pasukan Liga Perdana dengan semuanya dikenakan hukuman yang sama dan berdepan hukuman lebih berat sekiranya melakukan kesalahan berulang.

“Pemain Kelantan, Mohd Khairul Asyraf Ramli didapati berkelakuan ganas dengan memukul muka dan menyepak kaki kanan pemain Kedah, Andik Vermansyah pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada 8 Jun lalu,” katanya.

Sementara itu, empat lagi pemain Liga Perdana yang ‘berkelahi’ sesama sendiri turut menerima padah selepas kelakuan ganas mereka dihukum badan induk itu.

“Pemain PDRM, Argzim Redzovic didapati menyiku dada pemain Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Fazly Mazlan sementara Fazly pula menumbuk pipi Redzovic pada aksi membabitkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, 8 Jun lalu.

“Sementara itu, pemain UKM FC, Mohamad Alif Jamaluddin didapati menyiku muka pemain Terengganu FC II (TFC II), Md Hassan Basri sementara Md Hassan turut berkelakuan ganas dengan menumbuk muka Mohamad Alif.

“Kesalahan itu dilakukan ketika aksi membabitkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 20 Jun lalu,” katanya.

Semua hukuman yang dikenakan tidak boleh dirayu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.