Selepas 10 Tahun, Mekanik Bersyukur Diberi Hidayah Peluk Islam

MELAKA – Pergaulan dan hidup dalam komuniti Melayu sejak kecil menjadi pendorong kepada Ng Kah Wai, 29, untuk mendalami Islam.

Pemuda dari Malim yang memeluk Islam di sini dengan menggunakan nama Daniel Haikal Ng Abdullah berkata, niatnya untuk memeluk Islam terbit sejak lebih 10 tahun lepas namun ia semakin menebal sejak sebulan lalu sebelum mengambil keputusan berjumpa dengan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Melaka, lapor Bernama.

Sehubungan itu, anak kedua daripada tiga beradik ini berkata beliau telah bersiap sedia secara fizikal dan mental untuk menjadi seorang Muslim yang mematuhi Rukun Iman dan Rukun Islam walaupun sebelum ini beliau tidak pernah mempraktikkan salah satu rukun berkenaan seperti berpuasa.

“Saya sebelum ini belum lagi belajar sembahyang atau puasa penuh, tetapi saya yakin akan dapat melakukannya kerana saya benar-benar telah bersedia dan niat ini tidak didorong mana-mana pihak.

“Apa yang penting pada saya adalah sokongan daripada Macma dan rakan Islam atau Mualaf yang lain untuk bersama-sama melalui kehidupan baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengislamannya.

Dalam pada itu, Daniel Haikal Ng melafazkan kalimah syahadah di hadapan Pengerusi Macma, Lim Jooi Soon dan Penaung Macma Melaka, Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik.

Sementara itu, pekerja mekanik ini berkata beliau bernasib baik kerana keluarga dan adik-beradiknya yang lain tidak membantah niatnya untuk memeluk Islam sebaliknya memberi sokongan kepadanya.

Menurut Daniel dia akan mengikuti kelas fardu ain, mengaji dan kelas agama untuk meningkatkan ilmu agamanya agar dapat menjadi seorang Muslim yang sempurna.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata semua agensi, jabatan atau badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) perlu menggerakkan strategi pendakwahan serta menjaga kebajikan saudara baharu yang memeluk Islam secara lebih efektif.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah bagi mengelak saudara baharu berasa terpinggir atau tersisih kerana mereka memerlukan sokongan dan bimbingan yang lebih agar dapat meneruskan kehidupan baharu sebagai Muslim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.