MAHB Catat Tambahan Penumpang 11.9 Peratus Pada Jun

SEPANG- Langkah penambahan laluan penerbangan baharu Malaysia Airlines Berhad (MAB) ke China, India dan Asia Utara yang dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, akan menjadi teras bagi membolehkan syarikat penerbangan nasional itu menjana semula keuntungannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAB, Peter Bellew berkata MAB berjaya mencatat perkembangan baik dalam pelan penstrukturan semulanya dan hanya memerlukan kenaikan beberapa mata peratusan untuk meraih keuntungan.

“Pelan penstrukturan semula itu masih (dalam peringkat) separuh jalan. Malah, kami boleh katakan bahawa pelan itu mendahului sedikit daripada jadual dan lebih kepada usaha mengawal hasil serta kos.

“Pelaksanaan langkah seperti pemilihan laluan penerbangan yang tepat serta mempertingkatkan jualan dan pemasaran menerusi penambahan faktor muatan akan dapat membantu kami menambah hasil.

“Kami juga menjangkakan dapat mencatat pulangan modal dalam segmen tertentu pada tahun depan, mencatat untung yang seterusnya secara konsisten pada tahun berikut,” katanya.

Bellew berkata demikian kepada pemberita di luar majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Malaysia Aviation Group di sini, hari ini.

Kumpulan itu merangkumi unit pengendalian perkhidmatan darat MAB iaitu AeroDarat Services Sdn Bhd dan unit-unit lain seperti MASWings Sdn Bhd, Firefly Sdn Bhd dan MASkargo Sdn Bhd.

Mengulas selanjutnya, Bellew turut menyifatkan usaha pengembangan seperti pelancaran laluan  penerbangan baharu sepanjang tahun ini sehingga 2019 sebagai detik penting syarikat berkenaan bagi memanfaatkan jumlah penduduk yang ramai, peningkatan golongan pertengahan dan kepesatan ekonomi memberangsangkan di China, India, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

“Kami agak optimis bahawa jumlah pesawat akan turut meningkat sedikit pada tahun depan. Ini bermakna, kami juga perlu menambah baik tawaran produk dalam pesawat yang secara keseluruhannya mampu menguntungkan syarikat ini,” katanya.

MAB dilaporkan kini di pertengahan fasa langkah penyusunan semula bernilai RM6 bilion yang dijangka selesai dalam masa lima tahun ini.

Usaha itu mula dilaksanakan pada 2015 ketika MAB diterajui oleh Christoph Mueller.

Bellew mengambil alih tugas CEO pada 1 Julai, 2016 selepas Mueller melepaskan jawatan itu atas alasan peribadi.

Fasa kedua pelan penyusunan semula MAB  melibatkan penambahan laluan baharu termasuk 11 laluan ke China, kata Bellew.

Malah, syarikat penerbangan itu turut melancarkan laluan penerbangan baharu ke Nanjing dan Fuzhou pada bulan lepas.

Laluan penerbangan akan datang termasuk Chengdu, Chongqing, Wuhan, Tianjin, Shenzhen dan Shanghai dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu manakala usaha penambahan laluan baharu lain sedang dipertimbangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.