Hisyam Hamid Masih Terkesan Pemergian Nenek Sejak Ramadan Lalu

KUALA LUMPUR – Pemergian nenek tersayang pada Ramadan lalu meninggalkan kesan mendalam kepada pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid sehingga menyebabkan dirinya sugul ketika meraikan 1 Syawal.

Bagaimanapun, Hisyam, 31, cuba menguatkan semangatnya kerana tidak mahu mengganggu kegembiraan anak-anak yang begitu teruja menanti ketibaan Aidilfitri, lapor BH.

“Menjadi rutin saudara-mara berkunjung ke rumah pada hari raya pertama kerana nenek tinggal bersama kami. Namun, tahun ini suasananya berbeza kerana nenek menghembuskan nafas terakhir pada bulan puasa lalu.

“Saya seperti tiada arah tujuan kerana begitu rapat dengan nenek yang membesarkan saya sejak kecil. Pemergiannya memberi kesan kepada diri ini.

“Tetapi, saya tak mahu mementingkan diri kerana anak-anak masih kecil dan teruja untuk beraya. Sambutan Aidilfitri kali ini memang khas untuk mereka,” katanya

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian Ariana Rose itu berkongsi, 1 Syawal lalu diraikan secara sederhana dan memanfaatkan kesempatan itu dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di Kota Singa.

Hasil perkongsian hidup bersama isteri, Rosmawati Hanafi, 36, Hisyam dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 10, dan Hayden, 8.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.