DAP Tidak Dapat Bertanding

KUALA LUMPUR – Keengganan DAP untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) seperti yang diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bakal mengundang padah kepada parti itu apabila calon daripada DAP berdepan kemungkinan tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini kerana mengikut Akta Pertubuhan 1966, watikah calon yang akan bertanding mewakili DAP tidak dapat dikeluarkan dan disahkan memandangkan CEC tidak diiktiraf oleh ROS.

“Pengingkaran kepada arahan ROS ini menyebabkan calon daripada DAP tidak dapat bertanding nanti kerana watikah calon sesebuah parti mesti ditandatangani oleh pegawai atau pemegang jawatan yang diberikan mandat oleh partinya untuk menandatangani watikah berkenaan.

“Jika barisan kepemimpinan tidak diiktiraf oleh ROS ertinya watikah tidak dapat dikeluarkan dan tidak boleh disahkan maka akibatnya calon DAP tidak boleh bertanding,” katanya, lapor Utusan.

Jumaat lalu, ROS mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Bagaimanapun,Setiausaha Agungnya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan ROS itu dan bertegas untuk tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu dengan alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, ROS telah memberikan tempoh yang secukupnya kepada DAP untuk mengadakan semula pemilihan CEC dan segala tindakan ROS adalah mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan DAP sendiri.

“Kalau DAP tunggu untuk parti mereka diharamkan maka itu tidak akan dilakukan oleh ROS. DAP perlu faham bahawa tindakan ini semuanya termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Kementerian Dalam Negeri juga tidak ada kena mengena dengan arahan ROS supaya DAP mengadakan semula pemilihan CEC itu.

“Jangan jadikan saya secara rasmi atau peribadi penyebab kepada ROS bertindak demikian kerana ROS bertindak mengikut perundangan sedia ada,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.