44 Peratus Kakitangan JPN Kedah Gagal Bayar Zakat

Empat puluh empat peratus kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah termasuk guru di negeri ini dikesan masih gagal membayar zakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Zakaria Othman.

Beliau berkata, pada 2016, sebanyak 18,904 daripada 27,000 kakitangan JPN seluruh negeri membayar zakat yang membabitkan kutipan sebanyak RM18.6 juta, lapor Metro.

Katanya, berdasarkan rekod tahun lalu, RM18.6 juta dikutip daripada kakitangan JPN yang layak membayar zakat.

“Kita sedang mengesan kakitangan ini kenapa mereka tidak membayar zakat, mungkin ada yang bayar melalui saluran lain, atau berkemungkinan masih kurang kesedaran mereka untuk membayar zakat.

“Bagaimanapun kita akan memberi taklimat kepada ketua-ketua sektor untuk memberi pemahaman kepada kakitangan mereka. Menerusi kaedah inidijangkakan lebih ramai yang akan membayar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman MOU antara (JPN) Kedah bersama LZNK di Kompleks Pendidikan Stadium, Alor Setar, hari ini.

Sehubungan itu, menerusi MOU itu, JPN dilantik menjadi agen (amil) sah melakukan kutipan zakat LZNK.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, menerusi MOU itu, tiga perlapan daripada kutipan zakat di sekolah akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk aktiviti sekolah termasuk kepada pelajar atau kakitangan yang memerlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.