PAC Puas Hati Dengan Laporan Awal Audit 1MDB

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini berpuas hati dengan laporan awal pengauditan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara terhadap syarikat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana telah dibuat dengan menyeluruh serta telus.

 

Namun, PAC mendesak syarikat yang dilanda kontroversi itu memberikan kerjasama yang lebih baik kepada jabatan audit berkenaan.

 

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, 1MDB perlu memberikan segala dokumen yang diperlukan oleh jabatan audit bagi tujuan pengauditan lengkap dan pengesahan sepenuhnya terhadap penyata kewangan syarikat tersebut.

 

Beliau menegaskan, kerjasama 1MDB amat diperlukan bagi membolehkan Ketua Audit Negara memuktamadkan laporannya.

 

“Cuma ada dua perkara ditimbulkan iaitu mengenai dokumentasi. Jabatan Audit Negara masih lagi tidak mendapat kerjasama yang baik daripada 1MDB dalam memberikan dokumen untuk diaudit oleh mereka.

 

“Kita minta pengurusan 1MDB agar memberi kerjasama dengan memberikan segala dokumentasi dan maklumat yang diperlukan supaya Jabatan Audit dapat memuktamatkan laporan mereka pada akhir tahun ini.

 

“Antara dokumen yang diperlukan termasuk penyata bank serta dokumen perjanjian,” kata Nur Jazlan. Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai bercakap kepada media dalam sidang akhbar selepas menerima Laporan Awal Pengauditan 1MDB daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen di sini pagi tadi.

 

Jelas Nur Jazlan sekiranya 1MDB gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan oleh Jabatan Audit Negara, PAC akan meminta Kementerian Kewangan untuk mendesak 1MDB menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan itu.

 

Jabatan Audit Negara mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan Laporan Awal (Interim) Terhadap Pengauditan 1MDB, yang bermula pada bermula 10 Mac hingga 15 Jun lalu.

 

Pengauditan itu dilakukan selepas menerima arahan Kabinet pada 4 Mac serta atas permintaan PAC pada 27 Februari lalu.

 

Nur Jazlan berkata, PAC berpuas hati dengan kerja yang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dalam menyiapkan laporan awal tersebut.

 

“Skop yang digunakan adalah pengauditan terhadap 1MDB dan anak-anak syarikat berdasarkan kepada penyata kewangan daripada tahun 2010 hingga 2014.

 

“Skop pengauditan turut menganalisis penyata kewangan dan pelaburan-pelaburan 1MDB seperti Petrosaudi, manakala pengauditan sektor lain seperti hartanah dan tenaga masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam laporan akhir yang dijangka siap akhir tahun ini,” tegas Nur Jazlan.

 

Nur Jazlan berkata, laporan awal tersebut turut menyentuh kronologi penubuhan 1MDB yang bermula daripada Terengganu Investment Authority (TIA) yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Terengganu Diperbadankan dan pengambilalihan TIA oleh Kerajaan Persekutuan pada 31 Julai 2009 selepas mendapat persetujuan Kabinet dan ditukar nama kepada 1MDB.

 

“Turut disentuh adalah struktur organisasi 1MDB yang dibahagi kepada tiga iaitu Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan juga Pengurusan Kanan.

 

“PAC dimaklumkan skop dan methologi laporan awal mengandungi perkara lain seperti analisis penyata kewangan 1MDB bermula daripada 27 Februari hingga 30 Mac 2014 berdasarkan kepada jumlah jaminan dan pinjaman kerajaan terhadap 1MDB, aset Kumpulan 1MDB, pembiayaan dan penggunaan dana dan kajian terhadap penyata kewangan 1MDB bermula 2010 hingga 2014,” jelas Nur Jazlan.

 

Dalam menyiapkan laporan awal itu Jabatan Audit Negara memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber termasuk bekas syarikat audit MDB, Dloyd dan Kementerian Kewangan.

 

Temu bual dan perbincangan juga dilakukan dengan ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah dahulu hingga sekarang.

 

“Secara keseluruhan PAC amat berpuas hati dengan laporan awal yang menyeluruh. Dibuat dengan telus dan memberikan maklumat baik kepada PAC.

 

“Maklumat ini berguna untuk PAC tanya kepada pengurusan 1MDB yang akan dipanggil pada Ogos ini. Antara yang dipanggil termasuk CEO, bekas CEO, Lembaga Pengarah dan bekas Lembaga Pengarah,” tegas Nur Jazlan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.