Murid Sekolah Selamat Selepas Gigit Tangan Penculik

SHAH ALAM – Bermodalkan gula-gula, dua lelaki cuba menjadikannya sebagai umpan untuk menculik seorang murid perempuan sebuah sekolah di sini, Jumaat lalu.

 

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang semasa murid berusia 10 tahun itu sedang menunggu ibu bapa yang kebetulan lewat datang menjemputnya pada hari tersebut.

 

Semasa kejadian, mangsa berseorangan kerana semua murid lain sudah pulang dan kedudukannya agak terpencil iaitu kira-kira 20 meter dari pondok pengawal di pintu masuk utama.

 

Ketika itulah sebuah van berwarna putih dinaiki dua lelaki menghampirinya dan salah seorang suspek keluar lalu menawarkan gula-gula kepada mangsa.

 

Mangsa yang mahu mengambil gula-gula tersebut tiba-tiba cuba dibawa masuk secara paksa ke dalam van oleh suspek.

 

Bagaimanapun, tindakan berani mangsa menggigit tangan suspek lalu berlari masuk ke dalam pekarangan sekolah sekali gus menggagalkan cubaan culik tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya sedang menyiasat dari segenap aspek berhubung kejadian berkenaan.

 

“Kita tidak tahu apa tujuan ke­dua-dua suspek. Kita sudah tanya keluarga, pengurusan sekolah namun tiada petunjuk.

 

“Kawasan kejadian juga tidak dipasang kamera litar tertutup (CCTV),” katanya di sini malam tadi.

 

Sehubungan itu beliau telah mengarahkan semua anggotanya supaya meningkatkan tahap keselamatan di semua sekolah dalam daerah ini.

 

Beliau turut menasihatkan pengurusan sekolah supaya memastikan semua murid berada dalam kawasan sekolah sewaktu menunggu kenderaan masing-masing selepas tamat sesi persekolahan.

 

Shafien sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, balu dan anak istimewa dalam majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini malam tadi.

 

Sebanyak 14 balu, 12 anak yatim dan 12 anak istimewa menerima sumbangan berupa wang, pakaian serta barangan keperluan harian dalam majlis berkenaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.