Mufti Perak Sedia Jadi Orang Tengah Najib – Mahathir

PARIT BUNTAR – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sedia jadi orang tengah untuk menyelesaikan perbalahan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Mengumpamakan dirinya sebagai ‘hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong’ untuk menawarkan diri bagi tujuan itu, Harussani menyatakan perbalahan berterusan kedua-dua tokoh pemimpin pasti memberi kesan yang sangat negatif terhadap negara, bangsa dan umat Islam serta masyarakat keseluruhannya.

 

“Sebab itu, tak boleh dibiarkan berlarutan. Saya sedia jadi orang tengah sekiranya diperlukan,” jelasnya.

 

Katanya, biarpun bertelingkah, peraturan dalam menangani perbezaan pandangan masih perlu dipatuhi.

 

Apa yang paling membimbangkan, kata Harussani ialah perpecahan yang semakin teruk dalam kalangan umat Islam.

 

“Mereka perlu bersemuka dan berunding. Sekarang apa yang kita lihat (selagi masalah ini tidak diselesaikan) ialah orang ramai, rakyat turut sama terlibat. Mereka jadi mangsa, berpecah belah,” katanya pada majlis sumbangan zakat dan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan asnaf dan fakir miskin oleh Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng, semalam.

 

Turut hadir Pengerusi Epic Valley Holding Berhad, Tan Sri Fng Ah Seng dan Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Meor Ridwan Mahayuddin.

 

Harussani turut membidas mereka yang terpengaruh dengan media barat hingga menyebarkan berita fitnah terhadap Perdana Menteri berhubung kemelut 1MDB ketika ini.

 

Menurutnya, perbuatan tuduh-menuduh adalah satu perbuatan salah dan mesti dijauhkan kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam.

 

“Sekiranya ada berlaku kesilapan oleh individu tertuduh sekalipun, ianya perlu ditegur berlandaskan syariat Islam dan bukannya menyebarkan maklumat palsu yang mungkin akan menjejaskan maruah tertuduh.

 

“Bagi saya, punca maklumat palsu dan berbaur fitnah tersebar cepat dalam kalangan kita adalah disebabkan sifat kebinatangan dan kesyaitanan yang ada dalam diri manusia yang mana sifat-sifat seperti takbur, was-was dan suka memfitnah timbul meskipun syaitan diikat pada bulan Ramadan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.