Hentikan Fitnah Dan Kebencian, Hormati Kemuliaan Ramadan – Najib

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru rakyat Malaysia supaya menghentikan segera sebarang penyebaran fitnah dan kebencian sebagai menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

 

“Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita semua berhenti menyebarkan fitnah dan kebencian serta terus beristiqamah melakukan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.

 

“Mohonlah agar dosa kita diampunkan dan bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan keberkatan malam istimewa ini kerana ia mungkin malam Lailatul Qadar kita yang terakhir,” kata Najib.

 

Beliau berkata demikian dalam rakaman yang dimuat naik yang disertakan bersama transkrip di blognya pada Jumaat yang dipercayai merujuk kepada penyebaran pelbagai berita palsu dan tidak sahih sejak akhir-akhir ini yang memfokuskan dirinya sebagai sasaran.

 

Semua serangan peribadi itu dipercayai didalangi pihak tertentu dalam negara yang berkomplot dengan media antarabangsa untuk cuba menjatuhkan Najib dari kedudukan sekarang sebagai Perdana Menteri.

 

Dalam pada itu Najib mengingatkan umat Islam yang kini berada di 10 malam terakhir bulan Ramadan mempunyai satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar yang cukup dinanti-nantikan.

 

Ia juga menurut beliau lagi merupakan malam yang penuh rahmat dan nikmat besar daripada Allah SWT khusus untuk umat Islam.

 

“Pada malam tersebut, kita dijanjikan ganjaran pahala ibadat yang berlipat ganda seperti yang digambarkan dalam maksud firman Allah dalam Surah Al-Qadr, “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.