1MDB: PAC Akan Panggil Jho Low

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lagi eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta anak-anak syarikatnya sebagai saksi pada pertengahan September.

 

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam kapasitinya sebagai Penasihat Khas Terengganu Investment Authority (TIA) yang disahkan kedudukannya oleh Jabatan Audit Negara, akan turut dipanggil.

 

TIA bertukar kepada 1MDB pada September 2009 selepas diambil alih oleh kerajaan persekutuan.

 

“PAC akan mengeluarkan surat panggilan kepada semua saksi ini minggu depan dan memulakan prosiding pada pertengahan September.

 

“Surat panggilan untuk Low akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan, dan kita berharap kementerian akan dapat memberikan kerjasama memanggil Low untuk memberi keterangan di hadapan PAC,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar pembentangan laporan awal mengenai 1MDB oleh Jabatan Audit Negara di bangunan Parlimen di sini hari ini dan semalam.

 

PAC yang sedang menjalankan prosiding siasatan ke atas 1MDB juga akan memanggil Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Koh Beng Huat, Penasihat Undang-Undang Ivan Cheng, Pengarah Eksekutif Kewangan Terence Geh, kata Nur Jazlan.

 

Turut dipanggil Lembaga Pengarah 1MDB International Holdings Ltd Datuk Shahrul Azral Ibrahim Helmi dan Jasmine Loo Ai Wan serta Pengarah Brazen Sky Azmi Tahir.

 

Beliau berkata juruaudit-juruaudit 1MDB iaitu Deloitte Malaysia, KPMG dan Ernst (amp) Young juga akan dipanggil semula bagi menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam laporan awal ini.

 

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PAC Tony Pua menggesa Kementerian Kewangan memberi kerjasama sepenuhnya dengan menyerahkan dokumen-dokumen yang diminta bagi tujuan prosiding siasatan 1MDB.

 

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan pihak kementerian sejak April, namun sehingga hari ini satu dokumen pun belum diserahkan kepada PAC.

 

“Adakah pegawai kementerian disekat oleh pihak atasan daripada menyampaikan dokumen-dokumen yang dikehendaki atau sengaja melengah-lengahkannya?,” katanya.

 

Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara supaya mengesahkan secara bebas akaun-akaun 1MDB.

 

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat ‘bipartisan’ sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

 

“Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian,” kata Najib dalam kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.