Sembilan Terlepas Hukuman Mati

MIRI: Sembilan lelaki termasuk dua juvana terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Tinggi di sini pagi semalam membebas dan melepaskan mereka daripada tuduhan melakukan perhimpunan haram dengan niat membunuh seorang remaja, Edwin Singa, 19, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Stephen Chung Hian Guan setelah mendapati pihak pendakwa gagal mengemukakan kes prima facie terhadap semua tertuduh dalam kes itu.

Ketika membacakan keputusan bertulisnya, beliau berkata mahkamah mendapati tidak ada sebarang bukti kukuh yang boleh menyabitkan semua tertuduh dengan kesalahan didakwa selain terdapat banyak percanggahan dalam keterangan saksi terutama keterangan saksi ke-13 yang menimbulkan keraguan serius.

Katanya, walaupun terdapat keterangan bersangkut-paut dengan kejadian, namun tidak cukup membuktikan semua tertuduh terlibat dalam perhimpunan haram tersebut yang akhirnya mengakibatkan kematian mangsa.

“Setelah meneliti semua keterangan bukti, saya dapati pihak mendakwa gagal mengemukakan kes prima facie terhadap semua tertuduh.

Justeru, saya memerintahkan semua mereka dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan ini tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Zuraini Bahar (42), Paizal Baro (22), Gairil Mustapa (21), Alizam Bahar (41),Mohd Raimmy Jumat (26), Helmi Wahab (28), Fazilah Abd Rahman (28) dan dua juvana masing-masing berusia 19 dan 17 tahun (semasa kejadian berusia 17 dan 15 tahun) didakwa mengikut Seksyen 149 dan dihukum di bawah Seksyen 302 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketujuhtujuh tertuduh dan dua pesalah juvana terbabit melakukan perhimpunan haram dengan niat bersama menyebabkan kematian Edwin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 7.30 malam, 21 September 2012 di hadapan kedai runcit Hiap Soon Trading Co, Pekan Lawas.

Seramai 28 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang bermula sejak 8 Oktober 2013.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Musli Abdul Hamid, manakala semua tertuduh dan dua juvana terbabit masing-masing diwakili peguam bela dilantik terdiri daripada Narmal Singh, Lim Swee Huat, David Siaw, Ranbir Singh Sangha, Keith Chin, Sheikh Rajjish, Firdaus Morshidi, Patrick Liaw dan Kalveet Sandhu.

Sebaik ditangkap pada September 2012, mereka ditahan di Penjara Pusat Lambir sehingga kes selesai semalam.

Dalam pada itu, sejurus keputusan dibacakan ternyata ia disambut dengan penuh gembira oleh tertuduh serta ahli-ahli keluarga yang hadir memenuhi kamar mahkamah, malah sebahagian tertuduh dilihat bersalaman dan berpelukan sesama sendiri.

Justeru, Stephen member amaran kepada semua tertuduh agar tidak meraikan keputusan itu.

“Jangan raikan keputusan ini. Kali ini, kamu mungkin bernasib baik kerana tidak ada bukti kukuh menyabitkan kamu, namun belum pasti (bernasib baik) untuk kali kedua kerana saya tahu kamu merupakan orang yang sering menimbulkan masalah di Lawas,” tegas beliau.

Berbeza pula keadaan di pihak sebelah, keputusan itu disambut dengan penuh kekecewaan oleh keluarga mangsa.

Menurut bapa mangsa, Singa Labor, 53, mereka sekeluarga amat kecewa dan sedih dengan keputusan itu seolah-olah tidak ada keadilan terhadap kematian anaknya.

“Memang kami rasa kecewa dan sedih dengan keputusan ini. Seolah-olah tiada keadilan langsung dan kematian anak kami tidak terbela,” katanya sambil memberitahu Edwin merupakan anak bongsu daripada empat beradik.


http://www.theborneopost.com/2014/07/09/bunuh-sembilan-elak-hukuman-mati/#ixzz372NQwgKa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.