Ramli MS Belum Ada Calon

Pemergian Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar Al-Jufri, 61, ke rahmatullah pada 5 Julai lalu nyata masih mengejutkan ramai peminatnya. Banyak berita susulan dipaparkan di sana-sana terutama dari sudut kenangan anggota keluarga terdekat serta sahabat handai beliau.

Berhubung kerjaya seni, masih ada impian Sharifah Aini atau Kak Pah yang belum terlaksana. Ini termasuklah album terbaru yang sepatutnya diterbitkan rakan karib beliau, Datuk Ramli MS, yang akhirnya tidak kesampaian.

Beberapa tahun lalu, Allahyarham Kak Pah sudah mula merancang untuk merakamkan sebuah album istimewa yang memuatkan lebih 20 lagu Melayu daripada genre pop dan klasik. Terdahulu, album itu menjadi kontroversi kerana muzik sentuhan komposer veteran S Atan dikatakan tidak memenuhi konsep yang Kak Pah mahukan. Bagaimanapun, kes itu khabarnya sudah selesai.

Bagi Ramli pula, beliau akui tugasnya belum lagi tamat dan akan tetap meneruskan projek istimewa itu yang masih terbengkalai.

“Saya seorang yang berpegang pada janji. Apatah lagi arwah sudah pun membayar kos untuk penerbitan album itu. Jadi saya akan teruskan projek ini secepat mungkin,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Ramli berkata, buat masa ini dia perlu mengenal pasti dulu individu atau waris yang diberi tanggungjawab mengambil alih pengurusan Seri Dewi Productions, milik Kak Pah.

“Saya perlu berbincang dengan pihak berkenaan terlebih dulu dan bagi mendapatkan kata putus. Apapun, bagi diri saya, projek album ini tetap perlu disiapkan seperti yang dimahukan arwah,” katanya.

Menurut Ramli, album berkenaan sebenarnya sudah hampir siap dan hanya menunggu proses rakaman vokal saja. Semua susunan muzik dan senarai lagu sudah pun ada.

“Saya akui arwah mahukan susunan muzik yang padat dan mantap kerana album ini satu ‘tribute’ daripada beliau kepada industri hiburan Malaysia. Memandangkan tahap kesihatannya ketika itu belum stabil, saya sebenarnya menunggu lampu hijau daripada beliau sendiri. Namun sudah takdir beliau pergi dulu,” kata Ramli lagi.

Disoal siapakah calon artis yang paling sesuai menyanyikan lagu-lagu dalam album itu, Ramli berkata, setakat ini beliau masih belum terfikir siapa penyanyi yang layak.

Sementara itu, rakan-rakan rapat Kak Pah ada berbincang sesama mereka mengenai album itu dalam WhatsApp Berkumpulan dan memberi pendapat, lebih daripada seorang artis patut diberikan peluang menyanyi bagi album itu.

Kata mereka, Kak Pah juga ada senarai artis tempatan yang cukup diminatinya dan mungkin mereka boleh diberi peluang menghadiahkan vokal untuk projek itu.

Allahyarham Kak Pah menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya, Aliff Omar Ali, 32, ahli keluarga serta kenalan rapat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, jam 1.26 pagi, Sabtu lalu. Beliau disahkan meninggal dunia akibat komplikasi fibrosis paru-paru dideritai sejak dua tahun lepas.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, sebelum Zuhur pada sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!