Raisyyah Rania Akui Tenang Selepas Peluk Islam

Kuala Lumpur – Bekas model, Felixia Yeap yang baru memeluk Islam, mengakui kehidupannya semakin tenang berbanding sebelumnya.

Yeap atau nama Islamnya, Raisyyah Rania Yeap, 28 tahun, memeluk Islam secara rasminya pada 3 Julai lalu, bersempena tarikh lahirnya yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan.

Ia sekaligus menamatkan spekulasi sama ada dia akan memeluk Islam atau hanya sekadar meraih publisiti.

Menerusi laman Facebook (www.facebook.com/FelixiaYeapOfficialPage) yang mempunyai lebih 850,000 pengikut, Raisyyah Rania banyak berkongsi mengenai kehidupan barunya sebagai seorang umat Islam.

Selain berkongsi juadah berbuka dan bersahur, dia turut berkongsi kesukarannya dalam mempelajari bacaan kitab al-Quran, yang menurutnya disebabkan ‘lidah Cinanya’ itu.

Usaha yang dilakukan Raisyyah Rania untuk tampil sebagai seorang Muslim serta minatnya terhadap fesyen berhijab menyebabkan semakin ramai meminatinya.

Dia merupakan contoh bahawa selagi tidak bertentangan dengan Islam, wanita Muslim boleh tampil bergaya dengan apa jua yang disukai mereka dan masih boleh kelihatan menarik.

Pakaian yang menjadi pilihan Raisyyah Rania adalah jubah atau abaya, yang merupakan jubah longgar berlengan panjang.

“Saya seorang yang sibuk dan sentiasa tergesa-gesa, jadi saya suka mengenakan pakaian jubah atau abaya yang mudah. Satu-satunya masalah adalah untuk padankan hijab dan pakaian,” katanya dalam satu temubual melalui emel.

Wanita Muslim seharusnya memakai pakaian yang tidak mendedahkan bentuk tubuh badan.

Jadi, pakaian yang sesuai adalah jubah longgar berlengan panjang, yang cukup labuh untuk dipadankan dengan seluar longgar, rambut pula perlu ditutup dengan tudung yang menutup bahagian leher sehingga ke bawah dada.

Hasil daripada 10 tahun pengalaman menjadi model, Raisyyah Rania mengakui dirinya agak cerewet mengenai pemilihan warna dan fabrik pakaiannya.

“Saya gemarkan warna-warna lembut, seperti merah jambu muda, coklat muda, kuning air dan moka. Apabila saya rasa mencabar, saya akan pilih warna seperti hijau zamrud dan merah jambu gelap. Pada hari-hari apabila saya tidak dapat membuat keputusan, saya sentiasa memilih hitam.

“Kebiasaannya, saya memilih fabrik sifon yang berkualiti tinggi dan sangat pentingkan penyiapan hijab. Saya gemarkan selendang yang besar dan ‘half-moon’, supaya dapat menutup bahagian dada,” katanya.

Tahun lalu, sebelum memeluk Islam, dia berkesempatan memperagakan pakaian dan hijab Muslimah. Ekoran itu, dia telah dilemparkan dengan pelbagai komen negatif, kerana dikatakan tidak mempunyai hak untuk memperagakan pakaian wanita Islam.

Namun, selepas mula mempelajari Islam dengan niat untuk mencari ketenangan, kesemua itu tidak lagi dipedulikan. Malah, dia mengakui tidak lagi selesa, jika tidak menutup aurat.

Butik muslimah yang menjadi kegemaran Raisyyah Rania adalah Neng Geulis Hijab, di mana dia menjadi model pakaiannya.

Walaupun penglibatannya hanya sebagai model, namun Raisyyah Rania berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan suatu hari nanti.

“Saya mahu mulakan perniagaan sendiri dan berharap dapat lakukan projek kerja amal juga. Semuanya masih dalam peringkat perancangan dan saya sedang mengumpul modal untuk memulakannya,” katanya.

Selain Facebook, Raisyyah Rania turut mempunyai akaun Twitter@FelixiaYeap dengan lebih 35,000 pengikut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.