Pekerja Zoo Maut, Rakan Cedera

Kuantan – Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal Kawasaki Ninja 150cc yang dinaiki terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di KM26 Jalan Kuantan-Gambang dekat sini, malam tadi.

Muhammad Nazrien Farhan Jalaluddin, 21, yang merupakan pekerja am di Safari Zoo Gambang Water Park di sini maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Tarmizi Kamaruddin, 21, yang membonceng motosikal berkenaan hanya cedera ringan.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian berlaku pada 11.15 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gambang.

“Sampai tempat kejadian motosikal itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar tebing penghadang jalan sebelah kanan dan kedua-dua mangsa tercampak di atas pembahagi jalan tersebut.

“Akibatnya, penunggang motosikal mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati keadaan jalan di tempat kejadian adalah gelap kerana tiada lampu jalan.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Felda Lepar Hilir 4, Gambang itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.