Korban Serangan Gaza Melebihi 72 Nyawa

Gaza – Sekurang-kurangnya tujuh lagi dilaporkan maut dalam serangan terbaru tentera Zionis ke atas Gaza awal pagi tadi.

Ia menjadikan angka korban sejak serangan bertubi-tubi ke atas wilayah itu sejak tiga hari lalu melebihi 72 nyawa.

Laporan al Jazeera mengesahkan kebanyakan mereka yang maut terdiri daripada kanak-kanak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan Israel mengesahkan 550 yang lain cedera sepanjang tempoh Regim Yahudi melancarkan operasi tentera daripada wilayah yang ditawannya.

Tel Aviv mendakwa tindakan itu dibuat bagi membalas lebih 200 serangan roket ke arahnya.

Presiden Palestin Mahmud Abbas menuduh Israel sengaja melancarkan pertumpahan darah di Gaza namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran serangan berkenaan akan ditingkatkan lagi.

Setakat ini tiada korban membabitkan pihak Israel namun Hamas menunjukkan roket yang dilancarkan pergerakan itu di seluruh Israel menyebabkan siren dibunyikan di beberapa bandar utama sehingga bunyinya didengari dari Gaza, Tel Aviv, Baitulmuqaddis, dan Haifa.

Sementara itu, bertempat di Khalili, Tebing Barat, kumpulan penunjuk perasaan Palestin bertempur dengan pihak berkuasa malam tadi.

Ia bagi membantah serangan ke atas saudara mereka di Gaza.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!