JAKIM Seru Adakan Solat Hajat Dan Lancar Tabung Khas Gaza

Kuala Lumpur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini meminta semua masjid di negara ini mengadakan solat hajat dan mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin, yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata umat Islam di negara ini juga diminta membaca Qunut Nazilah supaya umat Islam di Palestin diberikan, kekuatan, kemenangan, ketabahan dan perlindungan.

“Bersama-sama mengadakan solat hajat dan berdoa supaya bumi Gaza dipertahankan daripada tentera penceroboh Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata semua masjid di bawah kendalian Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta melancarkan tabung khas kutipan derma bagi membantu warga Palestin bermula esok.

“Orang ramai dialu-alukan untuk memberikan sumbangan kepada masjid berkaitan dan para pentadbir masjid seluruh negara juga digalakkan mengambil inisiatif sama menubuhkan tabung khas itu,” katanya.

Bermula awal bulan ini, ketika umat Islam seluruh dunia menyambut bulan Ramadan, tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Palestin sehingga mengakibatkan ramai orang awam terbunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.