KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan mungkin sudah tiba masanya untuk melihat keberkesanaan penguatkuasaan undang-undang selain untuk kerajaan mengkaji keperluan sama ada pinda Kanun Keseksaan atau perkenalkn satu akta baru seperti yang diamalkan di United Kingdom (UK) iaitu ‘UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007’.
Menurut beliau ia satu akta yang membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam cara syarikat itu menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam dan kecuaian yang mengakibatkan kematian.
“Sangat setuju dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke tentang tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab.
“Dalam hal ini, akta ini diwujudkan di UK sebagai tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah di bawah undang-undang terutamanya syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kerana ia melibatkan nyawa manusia yang tidak ternilai harganya,” kata Azalina.
Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Antony Loke sebelum ini bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengangkutan yang didakwa menyebabkan nahas itu jika ia didapati melanggar peraturan keselamatan.