SAPS Ditutup Sementara Atas Faktor Keselamatan – Dr Maszlee

SISTEM Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara waktu atas faktor keselamatan berikutan dakwaan pencerobohan ke atas sistem berkenaan yang diterima semalam.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya meneliti perkara itu dan mengambil langkah susulan segera.

“Bagi pihak kementerian, saya memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Sebagai langkah keselamatan, saya mengarahkan sistem ini ditutup buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kementerian menjalankan analisis keselamatan secara mendalam bagi mengenal pasti kelemahan dan akan mengambil tindakan segera selepas menemui jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SAPS dibangunkan untuk mengumpul, menyimpan dan menganalisis data peperiksaan dalaman setiap sekolah di seluruh negara.

Maszlee berkata, laman web dan aplikasi lain berkaitan Kementerian Pendidikan bagaimanapun tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Untuk jangka panjang, katanya, pihaknya akan mengemas kini proses pengurusan projek dan pengurusan risiko semua projek kementerian bagi memastikan insiden seperti itu tidak lagi berulang.

“Saya percaya pandangan rakyat penting dalam semua hal berkaitan kementerian. Kami memerlukan input berterusan semua pihak supaya dapat bersama-sama melakukan perubahan yang perlu dalam kementerian,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.