Polis Pantau 23 Laluan Kerap Berlaku Kemalangan Di Pahang

KUANTAN – Polis akan memantau 23 laluan dikenal pasti berbahaya yang sering berlaku kemalangan di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superitendan Kamarulzaman Jusoh, berkata jalan Persekutuan dan lebuhraya itu akan dipantau bagi memastikan pengguna mengikut peraturan, sekali gus melancarkan perjalanan pulang ke kampung.

Katanya, antara laluan berkenaan adalah Jalan Pintasan Kuantan; Jalan Pekan-Muadzam Shah-Segamat di Rompin; Jalan Bentong-Raub; Jalan Raub-Kuala Lipis dan laluan menghubungkan Kuala Lipis serta Merapoh yang dijangka berlaku peningkatan trafik.

“Semua 11 ketua polis daerah sudah diberi penerangan berkenaan laluan sering berlaku kemalangan itu dan diminta supaya membuat pemantauan dengan lebih kerap.

“Kita menjangkakan lebih banyak kenderaan akan berada di jalan raya berikutan keputusan kerajaan memberikan diskaun 50 peratus bagi bayaran tol untuk dua hari sebelum Aidilfitri.

“Seramai 256 anggota dan 46 pegawai trafik akan bertugas sempena Ops Selamat yang diletakkan di kawasan berbahaya itu dan memantau kelancaran trafik untuk mengelakkan kesesakan, mereka dibantu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi bersepadu polis, JPJ dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Sentral Kuantan, malam tadi.

Kamarulzaman berkata, pihaknya juga akan membuat pemantauan 24 jam di laluan tertentu di Lebuhraya Karak di antara Kuala Lumpur dan Bentong selain laluan menghubungkan Raub serta Kelantan untuk mengurangkan kemalangan.

Katanya, pasukan bertindak kecemasan juga akan ditempatkan di tiga stesen iaitu Bentong, Temerloh dan Gambang supaya ia dapat memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kemalangan.

Berhubung operasi bersepadu malam tadi, beliau berkata, sebanyak 38 kenderaan diperiksa dan sembilan saman dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan.

“Sebuah daripada bas diperiksa diarahkan tidak meneruskan perjalanan kerana tayar digunakan tidak menepati spesifikasi manakala satu lagi disaman berikutan melakukan kesalahan berkaitan nombor plat kenderaan.

“AADK turut mengadakan pemeriksaan air kencing terhadap 33 pemandu bas sebelum mereka memulakan perjalanan dan kesemuanya disahkan negatif,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.