STAGG Gempur Lubuk Maksiat Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Seramai 52 wanita warga asing disyaki pelacur dan 40 pekerja serta penjaga di lima premis hiburan sekitar Lembah Klang, ditahan dalam serbuan Operasi Noda Khas oleh Bukit Aman, awal pagi tadi.

Mereka ditahan dalam serbuan serentak jam 1 pagi oleh Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Bukit Aman, di sekitar Petaling Jaya, Ampang, Brickfields, Dang Wangi dan Klang Selatan.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Muhammed Hasbullah Ali, berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam khususnya penduduk berhampiran premis berkenaan.

“Dalam operasi ini, kita menahan 27 wanita warga China dan 25 wanita Vietnam yang bekerja sebagai pelayan atau GRO namun dipercayai turut menawarkan khidmat seks dengan kadar RM150 hingga RM300 setiap tiga jam.

“Ketika di premis hiburan, wanita GRO ini akan duduk menemani pelanggan sebelum melayan pelanggan lain dan kembali menawarkan aktiviti maksiat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, ada premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun dipercayai menjalankan aktiviti sejak tiga tahun lalu tanpa rasa takut.

“Ini adalah jenayah terancang yang menjalankan operasi dengan pelbagai taktik seperti menempatkan ‘jaga air’ (penjaga yang mengawasi kehadiran polis) di setiap lokasi laluan menuju ke premis hiburan.

“Setiap premis dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu depan bermagnet untuk memantau serta melewatkan kehadiran polis jika serbuan dibuat,” katanya.

Dalam operasi sama, pihak polis turut merampas kalung dan selempang serta mahkota yang diberi pelanggan kepada wanita GRO terbabit. Muhammed Hasbullah berkata, polis turut menemui wang tunai, resit dan buku catatan perniagaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.