PERODUA Sedia Kerjasama Dengan PROTON-Geely

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sedia mempertimbang kemungkinan menjalin kerjasama strategik dengan PROTON-Geely bagi membantu meningkatkan penguasaan pasaran jenama tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata kerjasama strategik itu bakal membantu jenama automotif tempatan terus berdaya saing dalam penguasaan pasaran, sekali gus meningkatkan pembangunan automotif negara.

Beliau berkata, antara bidang kerjasama strategik adalah dalam pembangunan ekosistem dan pembangunan vendor.

“Ketika ini PERODUA dan PROTON (Proton Holdings Bhd) berkongsi lebih daripada 90 vendor yang sama. Jika kerjasama ini berlaku, tidak ada masalah.

“Banyak perkara dapat kita tingkatkan, termasuk penambahbaikan ekosistem dan kemampuan automotif negara.

“Buat masa ini penguasaan pasaran jenama automotif tempatan amat rendah, tidak sampai 50 peratus pun. Penguasaan pasaran ketika ini kebanyakannya disumbangkan oleh PERODUA iaitu 35 peratus,” katanya pada sidang media PERODUA Eco Challenge 2017 di sini, hari ini.

Sementara itu, Aminar turut mengulas mengenai pasaran eksport PERODUA dan pihaknya optimis dapat mencapai sasaran peningkatan jualan eksport.

Beliau berkata, jumlah eksport PERODUA bagi tempoh Januari hingga Mei 2017 adalah 1,006 unit dan ia dijangka meningkat susulan kemasukan kereta sedan pertamanya, Bezza ke pasaran luar.

“Kami tidak meletakkan sasaran jualan eksport yang tinggi, mungkin lebih kurang sama dengan jumlah eksport tahun lalu.

“Cuma kami optimis dengan kemasukan Bezza ke negara eksport terbesar ketika ini iaitu Sri Lanka dapat meningkat jualan eksport. Kami sasar Bezza dapat dijual sekitar 80 hingga 100 unit setiap bulan di negara itu,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.