Insentif Raya dan Dividen Saham FGV RM780 Untuk Peneroka Felda

KULAI – Datuk Seri Najib Razak mengumumkan insentif hari raya dan dividen saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berjumlah RM780 kepada 94,555 peneroka FELDA.

Perdana Menteri turut mengumumkan RM674,400 sagu hati yang akan diagihkan kepada pengerusi masjid, imam, bilal dan siak di masjid dan surau utama tanah rancangan FELDA.

Bagi insentif hari raya, katanya, FELDA meluluskan pembayaran RM47.28 juta dengan kadar RM500 bagi setiap keluarga peneroka.

“Ini ditambah dengan dividen FGV berjumlah RM26.4 juta atau RM280 bagi setiap peneroka, menjadikan jumlahnya RM780, membabitkan perbelanjaan RM73.75 juta,” katanya.

Beliau berucap pada Program Ihya Ramadan FELDA Peringkat Kebangsaan 2017 dan Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, di Padang Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Sayong, di FELDA Sungai Sayong, di sini, malam ini.

Najib berkata, pengerusi masjid di tanah rancangan itu akan menerima insentif RM400, imam (RM500), bilal (RM300) dan siak (RM200), manakala imam surau utama (RM500) dan bilal (RM300).

Perdana Menteri turut mengumumkan insentif kepada 3,625 petugas dan kakitangan FELDA iaitu 10 hingga 30 peratus daripada gaji pokok.

“Bermula Jun ini, sebagai penghargaan pada petugas FELDA di barisan hadapan akan diberi insentif tambahan 10 hingga 30 peratus daripada gaji pokok.

“Empat rancangan FELDA dalam Tenggara akan menerima peruntukan jalan iaitu Bukit Ramun menerima RM1.35 juta, Pasir Raja (RM700,000), manakala Sungai Sayong dan Bukit Besar masing-masing (RM2.2 juta),” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.