1,678 Pekebun Kecil RISDA Terima Dividen RM4.3 Juta

MACHANG – Seramai 1,678 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negeri ini menerima bayaran dividen berjumlah RM4.3 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, agihan dividen tersebut merangkumi 662 peserta Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB) dan 1,016 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

“Untuk peserta RTBB di seluruh negeri ini, kita telah mengagihkan sebanyak RM1.4 juta manakala untuk peserta TSK pula sebanyak RM2.9 juta, melibatkan 44 buah TSK.

“Pembayaran ini adalah selaras dengan dasar kerajaan yang memberikan penekanan kepada sektor pertanian dan pembangunan masyarakat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen Risda Negeri Kelantan Tahun 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Machang di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penerima, Omar Daud, 91, dari Kampung Pemanok dekat sini, berkata, dia amat gembira dan bersyukur kerana tidak pernah tercicir untuk menerima dividen RISDA setiap tahun.

“Hari ini, saya menerima dividen berjumlah RM1,400 dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang sentiasa menjaga kebajikan pekebun seperti kami,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.