PAS Akan Hilang Undi Bukan Melayu, Kata Pemimpin DAP

JOHOR BAHRU – Pas akan kehilangan sebahagian besar undi bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum akan datang jika tetap bertegas untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

 

Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong berkata, Pas tidak boleh menang besar seperti PRU sebelum ini kerana pengundi bukan Melayu tidak lagi akan menyokong parti itu.

 

“Sekiranya Pas membuat pilihan yang salah, parti itu tidak akan memenangi sokongan rakyat kerana di Johor sendiri dua pertiga kerusi parlimen dan 18 per 26 kerusi Dun adalah kawasan campuran.

 

“Ini bermakna DAP tidak boleh menang tanpa sokongan Melayu dan begitu juga Pas tidak boleh menang tanpa sokongan bukan Melayu,” katanya di sini, semalam.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, hakikat dalam PRU, DAP berusaha mendapatkan sokongan Melayu dan Pas pula berusaha mendapatkan sokongan bukan Melayu bagi mencapai misi menawan Putrajaya.

 

Katanya, sekiranya Pas memilih untuk bersendirian menawan hati pengundi, parti itu tidak akan menang bukan sahaja di Johor, malah seluruh negara kerana majoriti kawasan yang dimenangi adalah kawasan campuran.

 

“Keputusan itu menampakkan Pas tidak ambil berat usaha PR untuk memenangi kuasa persekutuan dalam usaha merampas Putrajaya pada PRU14 nanti.

 

“Konflik yang berlaku ini bukan isu baharu, sebaliknya isu yang sekurang-kurangnya 17 tahun lalu, jadi kita kena bersedia dengan penjajaran semula (realignment) yang bakal berlaku,” katanya.

 

Bagaimanapun, Chin Tong berkata, DAP bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang berhasrat untuk menumbangkan kerajaan BN pada PRU akan datang selepas usul memutuskan kerjasama dengan DAP pada Muktamar Pas lalu.

 

Katanya, tiada lagi kerjasama dengan Pas sekiranya Pas tidak bersedia menumbangkan BN, sebaliknya lebih cenderung bersama parti itu untuk memastikan hudud dapat dilaksanakan.

 

Menurutnya, tindakan Pas bersekongkol dengan BN akan meninggalkan kesan besar kehilangan penyokong kerana wujud sentimen tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini.

 

“Keputusan kita terpulang kepada Jawatankuasa Pusat DAP, tapi apa yang penting kalau kita tidak lagi bekerjasama dengan Pas, kita bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang berminat untuk menumbangkan BN,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.