Lelaki Maut Terjun Dari Perancah MRT Selepas Terlibat Kemalangan

KUALA LUMPUR – Perbincangan dua pemandu kereta yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Duta di ibu negara, berakhir secara tragis apabila seorang daripada mereka bertindak memanjat besi kontraktor, sebelum terjun dan maut di tempat kejadian.

 

Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S Markandan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, mangsa, Ngah Yung Chen, sedang bercakap dengan seorang lagi pemandu sebelum secara tiba-tiba memanjat perancah MRT dan terjun dari ketinggian bangunan empat tingkat.

 

“Hasil siasatan polis di tempat kejadian telah menemui seorang lelaki berumur 39 tahun maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Markandan berkata mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

 

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 

Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam satu kenyataan mengesahkan insiden di tapak kerja projek MRT di Jalan Duta.

 

“Seorang lelaki yang dipercayai berusia lewat 30-an dan memandu sebuah kereta terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan di Jalan Duta di luar tapak kerja MRT.

 

“Pasukan projek trafik MRT telah membantu mengalihkan kedua-dua kereta ke tepi jalan. Penghadang konkrit dialihkan untuk mengelakkan kedua-dua kereta berkenaan menghalang lalu lintas. Kedua-dua pemandu bercakap sesama mereka,” katanya.

 

Menurutnya semasa insiden itu, kawasan itu dikepung dengan penghadang konkrit dan tiada kerja pembinaan dijalankan di lokasi berkenaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.