Pembelian Jet Kerajaan Tiada Kaitan Dengan Isu Keselamatan Di Sabah – Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan kerajaan membeli jet rasmi untuk kegunaan Yang Di Pertuan Agong, pemimpin negara dan lain-lain urusan rasmi tiada kaitan langsung dengan isu keselamatan di Sabah.

 

“Keselamatan di Sabah tiada kaitan langsung dengan pembelian jet rasmi,” katanya dalam ruangan soalan lazim dalam blog najibrazak.com bagi menjawab persoalan berkenaan pembelian kapal terbang itu ketika negara berdepan dengan isu keselamatan di Sabah.

 

Najib juga menjelaskan pembelian jet tersebut tidak menyebabkan dana kewangan peruntukan untuk keselamatan di Sabah dikurangkan atau disalah gunakan.

 

Jawapan beliau itu dipercayai bagi menangkis persepsi negatif yang disebarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini secara sinis mengaitkan pembelian jet tersebut dengan isu keselamatan di Sabah.

 

Perdana Menteri berkata atas keprihatinan kerajaan dalam soal keselamatan, maka diwujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk meningkatkan kawalan di sempadan Sabah termasuk mengerahkan lima batalion terdiri daripada polis dan tentera untuk memantapkan keselamatan di kawasan timur Sabah.

 

Najib berkata walaupun Esscom telah berjaya mencegah daripada berlakunya pencerobohan baharu, namun isu penculikan masih menjadi ancaman terhadap keselamatan.

 

“Situasi ini kekal rumit susulan pemberontakan di selatan Filipina dan sempadan maritim Malaysia yang luas.

 

“Kerajaan telah meningkatkan rondaan dan operasi di seluruh kawasan berkenaan dan akan terus berbuat demikian,” jelas beliau.

 

Menurut Najib lagi, kerajaan akan terus komited untuk menghalang penculikan daripada berulang.

 

“Kita juga akan senantiasa terhutang budi kepada semua yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.