Banjir Kilat Di Puchong, Ratusan Kenderaan Terperangkap

PUCHONG – Hujan lebat lebih sejam petang tadi, menyebabkan ratusan kenderaan dari arah Puchong Jaya menghala ke Putrajaya terkandas, apabila laluan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ditenggelami air lebih  0.5 meter.

 

Kejadian itu turut menyebabkan tempat letak kereta pusat membeli-belah terkenal IOI Mall, dinaiki air dan ratusan kenderaan pengunjung terperangkap.

 

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Farid, 30, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, hujan lebat menyebabkan laluan lebuh raya itu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk tenggelam.

 

Dia yang berada di tempat letak kereta kawasan komersil bersebelahan lebuh raya membatalkan hasrat menggunakan laluan itu untuk pulang.

 

“Saya tengok air dah penuh atas jalan, ada pemandu lain selamba saja redah tapi saya tak berani takut enjin kereta rosak dimasuki air,” katanya.

 

Hujan lebat turut menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah dari Puchong Jaya hingga ke persimpangan Kampung Baru Batu 14.

 

Air hanya mulai surut kira-kira jam 6 petang dan kenderaan bergerak seperti biasa beberapa minit selepas itu.

 

Pada Februari 2013, laluan sama dilaporkan pernah mengalami banjir besar menyebabkan puluhan kenderaan ditenggelami air.

 

Ia dikatakan berpunca daripada semak samun yang memenuhi saliran longkang di tapak pembinaan stesen transit aliran ringan (LRT).

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan Litrak,Shah Rizal Mohd Fawzi berkata, pihak konsesi lebuh raya mengambil maklum kejadian banjir kilat berlaku di Kilometer 21.4 hingga Kilometer 21.8 di bahagian selatan LDP.

 

Hasil siasatan mendapati banjir berpunca akibat hujan lebat luar biasa yang menyebabkan paras air di Sungai Klang meningkat.

 

“Pihak kami juga mengenalpasti bahawa kerja-kerja pembinaan berhampiran mengakibatkan beberapa sistem perparitan utama sedia ada tersumbat khusus di longkang milik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berdepan pusat beli-belah IOI Mall. Faktor ini juga mengakibatkan banjir berlaku di kawasan parkir pusat beli-belah tersebut,”katanya.

 

Katanya, Litrak bersama wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan MPSJ akan membuat lawatan tapak pagi esok untuk menyiasat. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.