Kereta Curi Dari Malaysia Antara 30 Kereta Yang Dirampas Kastam Thailand

BANGKOK: Jabatan Kastam Thailand merampas 30 buah kereta bernilai 21.6 juta Baht dengan 13 daripadanya disahkan dicuri di Malaysia, yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan dokumen palsu. 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam Thai Rakob Srisupaat, kenderaan terbabit yang dibawa dari Singapura dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga. 

Kontena yang membawa kenderaan terbabit disenaraikan sebagai mengangkut perabot atau kereta baharu, katanya dalam taklimat media di sini pada Ahad yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain. 

Menurut seorang pegawai kastam, Thailand akan menyerahkan 25 kereta curi kepada pihak berkuasa Malaysia pada hujung bulan ini. 

Terdapat ratusan kenderaan curi dari Malaysia di negara ini tetapi bukan mudah untuk diserah semula kerana perlu mematuhi prosedur undang-undang, kata seorang lagi pegawai kastam. 

Katanya antara yang menyukarkan proses itu ialah mendapatkan dokumen pengesahan daripada syarikat insurans. 

Beliau berkata ada kereta yang tersadai di sini selama bertahun-tahun kerana menjadi bahan bukti kes jenayah. 
Ada juga kereta tidak dikembalikan kerana proses itu menelan kos yang tinggi, katanya. 

Sementara itu, Nazirah menghargai kerjasama rapat antara pihak berkuasa Thailand dan Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan. 

Banyak kereta curi berjaya diserahkan semula oleh pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia, katanya. – BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.