KUALA LUMPUR,- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini mengumumkan kesediaan beliau untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi sesi 2025–2028 dalam pemilihan parti yang akan datang.
Dalam kenyataan medianya, Amirudin berkata matlamat utama pencalonannya adalah untuk membentuk satu pasukan yang berkeupayaan melaksanakan cita-cita Reformasi serta terus mendokong kepimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi penggal kedua.
“Pemilihan KEADILAN 2025 menyaksikan peluang bagi memperkukuh serta memperkemas saf kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Umum yang tidak lama lagi,” katanya.
Menerusi kempen bertemakan Reformasi Cita Bangsa, Amirudin membawa gagasan yang sejajar dengan tema Bersama Membina Parti Kita oleh calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar. Beliau menyatakan iltizam untuk memperkuat gerak jentera parti serta merapatkan saf anggota KEADILAN dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Tambah beliau, hubungan bersama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan juga akan diperkukuh bagi menyusun langkah strategik menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.
“Insya-Allah dalam tempoh kempen ini, saya akan mengulas dan membentangkan gagasan Reformasi Cita Bangsa ini kepada seluruh anggota KEADILAN,” katanya sambil merayu sokongan dan dokongan anggota parti dalam meneruskan perjuangan reformasi.
Amirudin sebelum ini memainkan peranan penting dalam kepimpinan KEADILAN dan dianggap antara tokoh muda berpengaruh dalam blok Kerajaan Perpaduan.