KUALA LUMPUR – Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.
Tegasnya, serangan ke atas jemaah di Masjid al-Aqsa dan mengusir rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur, jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Setiap hari, apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.
“Kami menuntut masyarakat antarabangsa serius tangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Walid juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan kekejaman Israel.
“Mereka mesti meminta masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menggunakan hubungan dua hala mereka dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi tekanan kepada Israel.
“Hanya AS dan EU yang dapat menekan Israel untuk menghentikan serangan,” katanya. – Sinar