Terserah Pada Yang Di Pertuan Agong Tentukan Siapa Bentuk Kerajaan Pusat dan PM – Najib

KUALA LUMPUR – Yang di Pertuan Agong akan menentukan pihak mana akan menubuhkan kerajaan pusat berasaskan sokongan yang diperolehi di Dewan Rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata keputusan itu terletak di tangan baginda kerana tidak ada mana-mana parti memperolehi majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Najib berkata, apa pun keputusan itu, yang pasti adalah akan berlaku “perubahan” dalam persada politik tanah air berasaskan keputusan PRU14 semalam.

Pakatan Harapan memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen namun gabungan itu yang merangkumi PKR, DAP, PPBM dan Amanah bukan parti berdaftar seperti Barisan Nasional.

Di Semenanjung, calon-calon empat parti itu bertanding di atas tiket PKR manakala DAP menggunakan logonya sendiri di Sabah dan Sarawak.

Upacara angkat sumpah oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ditunda hari ini.

Dalam sidang medianya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Najib selaku presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, menegaskan beliau dan rakan-rakannya menerima keputusan rakyat pada PRU 14 yang tidak memihak kepada partinya.

“Saya terima keputusan ..dan BN adalah komited kepada prinsip-prinsip demokrasi berpelembagaan.” katanya.

Namun, Najib berkata keputusan semalam tidak memberikan kemenangan jelas kepada mana-mana parti (secara individu), justeru keperluan pihak Istana membuat keputusan berlandaskan keputusan pilihan raya berkenaan.

“Oleh kerana tidak ada majoriti mudah…Yang Dipertuan Agong akan membuat keputusan siapa bakal dilantik sebagai perdana menteri,” kata Najib.

Beliau berkata keputusan baginda akan berasaskan keyakinan beliau bahawa calon perdana menteri yang dipilihnya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Najib berkata pihaknya memberi penuh kepercayaan dan akan akur kepada sebarang keputusan yang bakal diambil oleh baginda.

Pada PRU kali ini, PKR memenangi 104 kerusi parlimen manakala sekutunya Warisan menang 9 kerusi dan DAP di Sabah dan Sarawak memperolehi sembilan kerusi.

BN memenangi 79 kerusi parlimen, manakala PAS meraih 18. ‪Parti Solidariti Tanah Airku di Sabah (1)‬ dan calon bebas tiga kerusi. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.