Mangsa Banjir Di Temerloh Meningkat Kepada 116 Orang

KUANTAN — Jumlah mangsa banjir di Temerloh setakat pukul 9 pagi ini meningkat kepada 116 orang berbanding 96 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff berkata kesemua mangsa merupakan penduduk dari Kampung Pasu, Kuala Krau, Kuala Gandah dan Kampung Asli Sungai Enggang.

“Mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara di surau Kampung Penderas (15 orang), dewan orang ramai Kampung Pasu (64 orang) dan surau Sok Mek (21 orang).

“Enam belas orang lagi dari Kampung Orang Asli Sungai Enggang yang turut terjejas dengan kejadian banjir ini berpindah ke rumah saudara-mara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keadaan banjir di Kampung Pasu, Penderas, Kuala Krau semakin pulih dan air telah surut di kebanyakan tempat.

Zainal berkata pusat pemindahan dijangka ditutup tengah hari ini sekiranya keadaan bertambah baik. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.