Bukan PAN Tapi PAS Yang Sebenarnya Pengkhianat, Kata Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam mempertahankan beliau dan rakan-rakannya yang keluar daripada Pas menyertai Parti Amanah Negara (PAN) bukan pengkhianat.

Malah Khalid Samad menegaskan, pengkhianat sebenar adalah pimpinan utama Pas termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya bukan pengkhianat dia (Abdul Hadi) pengkhianat,” ujarnya semasa sidang live Anda Tanya Saya Jawab menerusi FB malam tadi.

Pengarah Komunikasi PAN itu juga mengaitkan peristiwa Perang Uhud dimana ada tentera Islam mengingkari perintah Rasulullah turun dari bukit untuk mengambil ghanimah (harta rampasan perang) dan menyamakan Pas sekarang seperti itu.

Bagi Khalid, beliau dan rakan-rakan dalam PAN masih memegang mandat PRU-13 untuk bersama pembangkang lain menentang BN bukan seperti Pas yang kini ‘bersahabat’ dengan BN.

Menurutnya, Pas memecahkan pakatan pembangkang dan bukan DAP selepas pemimpin Pas ‘termakan’ dengan umpan yang diberi oleh UMNO.

Khalid mendakwa selepas itu Pas mula mencari salah dengan menyalahkan PKR kemudian DAP.

Bagaimanapun, apabila diserang, DAP mula membalas kerana parti itu ada kekuatan tersendiri namun PKR pada peringkat awal masih ‘takut’ melawan Pas.

Ketika itu Pas pimpinan Abdul Hadi mula mempertikaikan PKR dan tidak menyokong pemilihan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PRK Permatang Pauh selepas ‘ketiadaan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai Rang Undang-Undang 355, Khalid mendakwa Abdul Hadi sepatut membincangkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan namun Ahli Parlimen Marang itu didakwa tidak berbuat demikian.

“Janji tapi tiba-tiba dengar kata Presiden Pas bawa usul persendirian dan serah kepada speaker tanpa dibawa ke Majlis Presiden.

“Itu sebab DAP kata kami putuskan hubungan dengan Presiden Pas bukan parti lagi ketika itu.

“Kalau dia (DAP) anti Islam dia putuskan Pas kerana cakap tidak serupa bikin,” ujarnya lagi.

Satu lagi, kata Khalid, semasa pemilihan Wan Azizah menjadi bakal Menteri Besar Selangor, Pas bersetuju tetapi tiba-tiba bertukar fikiran pada saat akhir.

“Dulu tak berani (baik dengan UMNO) sebab almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat ada lagi,” dakwanya.

Sementara itu, Khalid menyatakan pertandingan tiga penjuru di Kelantan pada PRU-14 tidak dapat dielakkan memandangkan sikap Pas pada hari ini.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.