Dua Dekad Digantung, FAM Akhirnya Ampun 78 Pemain Terlibat Rasuah

KUALA LUMPUR ― Selepas 21 tahun digantung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik balik hukuman terhadap 78 pemain bola sepak yang terlibat skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada tahun 1994 hingga 1995.

 

Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan itu dibuat semalam berkuatkuasa serta-merta, sekaligus membolehkan semua bintang Liga Perdana itu kembali bergiat aktif, sama ada sebagai jurulatih atau pegawai pasukan bola sepak, lapor akhbar Kosmo!.

 

“Kami telah sebulat suara untuk menamatkan penggantungan 78 pemain yang telah digantung pada tahun 1994 dan 1995 ekoran kesalahan mengatur perlawanan sekaligus membenarkan mereka untuk kembali aktif dalam bola sepak tanpa sebarang masalah,” katanya.

 

Namun nasib bagi enam lagi pemain yang digantung seumur hidup dan diharamkan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak tempatan masih belum diputuskan FAM.

 

Menurut Afandi, status mereka akan dibincangkan dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

 

Senarai rasmi nama yang dibebaskan daripada hukuman juga hanya akan dikeluarkan selepas presiden Tengku Abdullah Ahmad Shah pulang dari Mexico atas urusan kerja, kata FAM.

 

Antara nama pemain yang digantung adalah Azizol Abu Haniffah, Karim Pin, Faridzuan Che Hamid, Matlan Marjan, Matusin Bowie, P. Ravindran, dan Reman Ragunathan.

 

Bekas kapten pasukan Selangor, Abdul Malek Abdul Rahman, 47, dalam responsnya terharu dengan keputusan FAM dan mengakui zaman bola sepak sedunia ketika itu terpalit dengan kegiatan bookie, dan Malaysia tidak terlepas daripadanya.

 

“Waktu itu Malaysia baru beralih daripada liga semi-pro kepada profesional sehingga menarik minat bookie dari China,” katanya yang pernah dihukum gantung 18 bulan. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.