Dua Beradik Bertarung Nyawa Demi Selamatkan Ibu

KUANTAN – Keberanian dua lelaki adik-beradik di Felda Lepar Hilir 1, Gambang di sini berjaya menyelamatkan ibu mereka dan menghalang perbuatan tiga penjenayah yang memecah masuk rumah mereka di tanah rancangan itu awal pagi semalam.

 

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi tersebut, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu bergelut dengan tiga penjenayah berkenaan sebelum berjaya menangkap dua daripada mereka yang merupakan warganegara asing.

 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian itu bermula ketika tuan rumah yang merupakan seorang wanita berusia lingkungan 50-an terdengar bunyi ketukan pada bahagian dapur rumah.

 

“Wanita tersebut yang bertindak memeriksa punca bunyi tersebut menjerit sekuat hati apabila tiga orang lelaki yang tidak dikenali menerpa ke arahnya secara tiba-tiba dan jeritannya mengejutkan dua anak lelakinya yang sedang tidur.

 

“Kedua-dua anak mangsa bertindak berani dan bergelut dengan sekumpulan perompak tersebut yang bersenjatakan pisau dan pemutar skru untuk menyelamatkan ibu mereka sebelum berjaya menewaskan dua perompak berkenaan.

 

“Melihat keadaan tersebut, seorang lagi perompak melarikan diri menerusi pintu dapur meninggalkan dua orang rakannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Abdul Aziz berkata, dua penjenayah berusia 38 dan 40 tahun diserahkan kepada polis yang tiba ke rumah mangsa 15 minit selepas kejadian dan kedua-duanya yang dipercayai warga Indonesia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk siasatan lanjut.

 

Katanya, kedua-dua anak mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan serta badan akibat pergelutan yang berlaku dan mereka dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk dirawat.

 

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek menetap di Kuala Lumpur dan hanya datang ke daerah ini untuk melakukan jenayah sebelum pulang semula ke ibu negara,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.