Alvin Tan Terbit Buku : Isu Seks, Babi, Dan Kes Mahkamah

Kuala Lumpur – Penulis blog seks, Alvin Tan sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila menerbitkan buku “Sex, Pork, and Persecution” yang menceritakan kisah perjalanan hidupnya daripada seorang pelajar undang-undang terbaik di universiti sehingga diheret ke mahkamah selepas didakwa mengikut Akta Hasutan 1948.

Tan yang pernah dikecam kerana menyiarkan gambar bertulis ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh…wangi, enak, menyelerakan) di Facebook, bagaimanapun menafikan mengambil sebarang keuntungan hasil jualan buku tulisannya sendiri itu.

“Saya gigih berusaha sehingga buku ini berjaya dipasarkan kerana penerbit, pengedar, syarikat percetakan terutamanya penjual, walaupun tertarik dengan potensi jualan buku ini tetap bimbang akan dikenakan tindakam mahkamah oleh kerajaan.

“Industri penerbitan dikawal ketat oleh kerajaan, dan semakin banyak syarikat penerbitan gulung tikar selepas dipaksa tutup oleh kerajaan kerana mengeluarkan buku berunsurkan politik.

“Satu keajaiban kerana saya jumpa pihak yang sanggup mengambil risiko ini walaupun tahu kelantangan saya ini bakal memberi peluang kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), polis,mahkamah dan penjara mengenakan tindakan terhadap saya,” katanya melalui akaun Facebook “Alvin and Vivian-Alvivi”.

Menurut Tan, buku indie itu kini berada di pasaran dengan harga promosi RM29.95 dan akan dilancarkan di kedai buku Silverfish Books di Bangsar.

Dikenali sebagai ‘Alvivi, Tan dan pasangan kontroversinya Vivian Lee bagaimanapun dilaporkan berpisah hujung tahun lalu.

Pada 21 April lalu, Mahkamah Rayuan menggugurkan pertuduhan mempersenda umat Islam semasa bulan Ramadan terhadap Tan dan Lee kerana ia tidak terpakai bagi bukan Islam.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Datuk Mohtarudin Baki juga memutuskan pertuduhan mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan tidak dapat dikuatkuasakan terhadap pasangan itu.

Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 26, dan Lee atau Lee May Ling, 25, sebelum itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan ke atas mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi, ketika menolak permohonan pasangan itu pada 21 November tahun lalu, memutuskan Seksyen 298A (1)(a) terpakai bagi semua kaum dan sah serta boleh dikuatkuasakan secara universal tanpa mengira kaum, etnik atau agama seseorang dan bahawa seksyen itu terpakai pada kedua-dua perayu dalam kes ini.

Dalam permohonan itu, Tan dan Lee memohon daripada Mahkamah Tinggi bagi perintah untuk mengisytiharkan bahawa Seksyen 298A adalah tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak dapat dikuatkuasakan ke atas mereka, dan bahawa sekalipun tuduhan itu sah di sini undang-undang, ia hanya terpakai bagi orang Islam.

Mereka dituduh memuat turun gambar yang boleh menimbulkan konflik agama, di sebuah restoran di Dang Wangi pada 11 dan 12 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun bekas pasangan itu masih menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Mei ini bagi sebutan kes. – TMI

One thought on “Alvin Tan Terbit Buku : Isu Seks, Babi, Dan Kes Mahkamah

  • May 10, 2014 at 5:26 pm
    Permalink

    He knows and purposely doing it for personal gain….to be popular, supported by people of similar attitude….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.