Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan

Sentul – Seramai 23 keluarga dan dua individu terdiri daripada mangsa kebakaran, menerima sumbangan dan tawaran rumah transit Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, rumah yang terletak di Bukit Jalil itu diberi kepada mereka yang berkeluarga, manakala individu pula ditawarkan Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan.

“Ini adalah sedikit bantuan daripada kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan bagi meringankan beban mangsa.

“Walaupun kita tidak mempunyai satu dasar melainkan mereka tinggal di kawasan setinggan atau milik tanah kerajaan baru kita beri rumah. Tetapi hari ini DBKL memberi rumah untuk mereka pindah ke PPR Bukit Jalil,” katanya.

Beliau berkata, mangsa terbabit turut menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,500 setiap keluarga.

“Ini adalah sumbangan ikhlas daripada pihak kami bagi meringankan beban mangsa yang menghadapi waktu sukar seperti ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul pada Jumaat.

Pihak DBKL, katanya, akan membantu menguruskan pemindahan mangsa ke PPR Bukit Jalil, termasuk menyediakan kenderaan untuk mereka.

Pada 3 Mei lalu, sebanyak 24 buah rumah hangus dalam satu kebakaran di Jalan Lower Kovil Hilir membabitkan 23 keluarga dan dua individu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.